Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil ke atas Ramkarpal Singh yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan cuba menyembunyikan kebenaran tentang kematian Teoh Beng Hock.

Sedangkan, Datuk Lokman Adam yang mengeluarkan kenyataan mengesyaki kerajaan PH cuba menyembunyikan kebenaran kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah dipanggil dan disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan.

Menurutnya, semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), polis juga pernah memanggil Lim Kit Siang di bawah Akta Hasutan untuk soal-siasat di atas kenyataan beliau yang mempersoalkan keputusan mahkamah mengenai kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2014

Pada masa itu, Kit Siang tidak ditangkap, tidak ditahan dan tidak didakwa juga.

Malah, kata Najib, Kit Siang tidak lagi menyoal mengenai kematian Beng Hock dan mengeluarkan kenyataan pada Oktober tahun lalu bahawa beliau tidak bersalah di dalam kematian bekas setiausaha politik seorang pemimpin DAP itu.

“Pada zaman BN semasa saya Perdana Menteri, rata-rata pemimpin-pemimpin PH mengeluarkan pelbagai tohmahan dan kenyataan selama bertahun-tahun untuk mengaitkan saya dan kerajaan BN di dalam kematian beberapa orang seperti Altantuya, Teoh, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

“Bagaimanapun, mereka tidak dipanggil ditangkap di bawah Akta Hasutan ataupun dipaksa untuk bermalam di lokap,” katanya melalui posting terbaharu di Facebook.

Najib berkata, walaupun PH sekali lagi mungkir menunaikan janji manifesto untuk memansuhkan Akta Hasutan tetapi jangan memilih kasih dan menggunakan akta ini yang berulang kali menindas pemimpin dan penyokong pembangkang.

“Lokman sudah kena. Sebelum ini adik Lokman pun ditangkap dan direman 4 hari bulan Oktober dulu.

“Teoh Beng Hock ialah rakyat Malaysia. Beliau mati di dalam keadaan tragis. Begitu juga dengan Allahyarham Mohd Adib,” katanya.

Lantaran itu, tegas Najib, rakyat berhak untuk menuntut kebenaran tentang kematian kedua-dua mangsa ini tanpa dipaksa untuk bermalam di lokap. – MalaysiaGazette