Rais Yatim
Rais Yatim

SEREMBAN – Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata kemelut pelantikan Undang Luak Jelebu dapat diselesaikan jika menteri besar memainkan peranan menasihati Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Bagaimanapun katanya, dua menteri besar yang ditemuinya sebelum mengatakan tidak mahu campur tangan sekalipun perkara itu diperuntukkan menerusi Artikel 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Artikel itu menyatakan menteri besar hendaklah menjadi penasihat dan menasihatkan tentang hal-hal berhubung pemilihan Undang dan pegawai adat di luak masing-masing.

“Tetapi ini tidak dilunaskan sampai hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bekas Anggota Parlimen Jelebu itu percaya jika menteri besar memainkan peranannya, kemelut yang kini memasuki tahun keempat selepas Undang Luak Jelebu ke-15 Datuk Musa Abdul Wahab meninggal dunia pada 11 Sept 2014, telah lama selesai.

Pada 20 Dis lalu, Datuk Lembaga Luak Jelebu Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain mengumumkan pesara guru Maarof Mat Rashad, 63 sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 namun tidak diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri kerana tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

Itu merupakan kali kedua pelantikan Maarof tidak diiktiraf selepas diumumkan kali pertama pada Jun tahun lepas.

Selain beliau, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun juga pernah diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada April 2016, namun turut tidak diiktiraf.

Mengulas lanjut, Rais berkata sekiranya Dewan Keadilan dan Undang bermuafakat serta memberi nasihat kepada menteri besar untuk memutuskan seorang daripada tujuh calon yang telah dikenal pasti untuk dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu, maka calon itu sudah pasti akan diiktiraf.

Penggiliran pusaka adalah mengikut susur galur waris berundang Luak Jelebu iaitu antara Waris Ulu Jelebu (sulung), Waris Sarin (tengah) dan Waris Kemin (bongsu).

Dalam pada itu, Rais menyarankan agar luak-luak di Negeri Sembilan mewujudkan perlembagaan bertulis masing-masing demi memelihara adat dan memudahkan pelantikan seseorang Undang Luak.- BERNAMA