Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Bukit Serene, pada Khamis lepas.

Menerusi mesej twitter, Tunku Ismail bertitah baginda berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama dan terus melangkah ke hadapan demi masa depan negara yang lebih gemilang.

“Assalamualaikum @chedetofficial. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kerana berkunjung ke Johor untuk ‘menghadap’ Ayahanda DYMM Tuanku Sultan.

“Saya harap kita dapat bekerjasama dan terus melangkah ke arah masa depan negara yang lebih gemilang. Selamat maju jaya dan saya doakan semoga tuan sejahtera. Salam ikhlas, Ismail Ibrahim,” menurut mesej baginda dalam Twitter rasmi, ‘HRH Crown Prince of Johor’, hari ini.

Tunku Mahkota Johor turut memuatkan gambar Sultan Ibrahim memandu sendiri Proton Saga generasi pertama dengan nombor pendaftaran Proton 1, untuk menghantar Dr Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Dr Mahathir menghadiahkan kereta itu kepada ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, pada 1985.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor, PM adakan perbincangan biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor pandu Proton Saga edisi pertama hantar Tun M