KUALA LUMPUR – Hampir 60 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak menyedari tentang adanya kemudahan pembiayaan perniagaan Islam yang disediakan, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zayla­­­ni Mohamad Zahid.

Beliau berkata, kebanyakan PKS mengambil pembiayaan konvensional kerana sesetengah daripada mereka mungkin mempunyai salah tanggapan bahawa kewangan Islam hanya bagi orang Islam.

“Hari ini, kita berharap untuk menepis salah tanggapan ini dan mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi tentang apakah kewangan Islam dan apakah yang ditawarkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan Zaylani juga berkata, kewangan Islam adalah industri yang kukuh di Malaysia dan mempunyai aset perbankan berjumlah RM874 bilion atau 30.4 peratus daripada jumlah aset perbankan pada akhir September tahun lepas dengan pertumbuhan tahunan 10 sejak tiga dekad yang lalu.

“Pada akhir suku ketiga tahun lepas, sumbangan takaful berjumlah RM1.7 bilion, dengan penembusan pasaran 15 peratus. Pertumbuhan kewangan Islam di negara ini berdaya tahan dan menyokong perkembangan sosial dan ekonomi,” katanya.

Antara spektrum di bawah kewangan Islam ialah platform akaun pelaburan (IAP) yang ditubuhkan oleh enam bank Islam pada 2016 yang setakat ini menyokong enam usaha niaga bernilai RM161.3 juta.

Selain IAP, Adnan Zaylani berkata sukuk kewangan Islam juga merupakan satu bentuk pembiayaan alternatif bagi perniagaan seperti sukuk hijau bagi perniagaan hijau.

Setakat ini, lima sukuk hijau telah diterbitkan oleh syarikat solar Malaysia untuk membiayai projek kuasa solar bernilai RM866.8 juta sejak Julai 2017.

Menurutnya, semua transaksi kewangan Islam perlu mencerminkan nilai-nilai Islam yang beretika dan adil.

“Justeru itu, pengamal kewangan Islam wajib untuk mematuhi norma-norma perilaku beretika tinggi untuk menegakkan nilai-nilai dan kesucian Syariah. Oleh itu perniagaan boleh mendapat jaminan yang keperluan kewangan mereka diurus dan dilindungi dengan baik.”

Beliau berkata sistem kewangan Islam juga mempromosikan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) yang digalakkan untuk mengguna pakai rangka kerja lebih berstruktur bagi menilai bagaimana ia mewujudkan nilai dan impak, terutamanya dalam berdepan dengan keadaan ekonomi, sosial dan persekitaran yang berubah-ubah.

“VBI yang bukan hanya sekadar keuntungan, bakal menjadi satu daripada pemacu bagi institusi kewangan Islam untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

“Ini memerlukan pemahaman tentang keperluan dan keadaan khusus usahawan sebelum mengesyorkan produk atau perkhidmatan tertentu, dan bukannya menumpukan kepada pelbagai perkhidmatan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette