Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) mengangkat Silinder Komposit Gas ketika melawat pameran sambil diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution (dua kanan) dan Pengarah Urusan Astana City Group Sdn. Bhd., Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman (kanan) pada Majlis Pelancaran Produk Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) 14KG di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR- Astana City Group Sdn. Bhd. (ACG) mengesahkan telah menghantar kertas cadangan pembangunan kereta nasional ketiga kepada kerajaan.

Pengarah Urusannya, Nik Mohd. Fareez Nik Ahmad Azman berkata, syarikat tersebut berhasrat untuk bekerjasama dengan pengeluar kenderaan Korea, Hyundai dan firma Thailand, PAP-Econ untuk membangunkan kenderaan yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) atau biasa dikenali sebagai gas memasak sebagai bahan bakar sepenuhnya bagi menggantikan petrol.

“Kenderaan-kenderaan di Jepun semuanya menggunakan LPG kerana selain menjimatkan ianya juga mempunyai pencemaran udara yang lebih rendah.

“Harap model yang berjaya di Jepun dan Korea ini dapat diterima juga di Malaysia.

“Malah di Thailand sendiri banyak kereta telah menggunakan LPG,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran produk silinder LPG komposit keluaran ACG di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Nik Mohd. Fareez, sekiranya cadangan kereta nasional ketiga itu diterima kerajaan, ACG akan menggunakan modal sendiri untuk membangunkan prototaip kereta berkenaan.

Dalam pada itu, ACG juga katanya merancang untuk membina stesen-stesen LPG di seluruh negara bagi memudahkan pengguna kenderaan mengisi bahan bakar.

ACG juga katanya sedang membina sebuah kilang penyimpanan LPG berkapasiti 200,000 metrik tan di Melaka untuk kegunaan domestik dan dijadikan hab pengedaran di Asia.

Selepas siap, projek tersebut dijangka membuka 2,500 pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menyentuh mengenai silinder komposit keluarannya, Nik Mohd. Fareez berkata, ACG menjadi syarikat tempatan pertama yang membawa masuk penggunaan teknologi komposit ke dalam negara.

Teknologi silinder LPG komposit katanya adalah sangat popular di Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Thailand dan Eropah kerana tidak meletup, ringan dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding tong silinder LPG biasa yang diperbuat daripada besi.-MalaysiaGazette