Calon bebas, Wong Seng Yee ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Calon bebas, Wong Seng Yee yang mengadakan ‘walkabout’ hari ini tampil membuat kejutan apabila membawa ‘cangkul’ buatan sendiri sehingga menyebabkan rata-rata orang ‘takut’.

Bagaimanapun, menurut Seng Yee, cangkul yang diperbuat daripada kertas keras itu sebenarnya merupakan logo pilihan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands kali ini.

Ketika ditemui oleh MalaysiaGazette di Kea Farm, Cameron Highlands, sempat Seng Yee bercerita serba sedikit berhubung cangkul tersebut.

“Sebenarnya saya pilih cangkul ini bagi bukan kerana takutkan sesiapa, saya bukan seorang yang ganas juga. Tetapi alat ini merupakan sesuatu yang menyentuh hati para petani. Dengan menggunakan alat inilah, kami bekerja siang malam.

“Cangkul ini sebenarnya sangat dekat dengan para petani kita termasuk saya. Kerana itu saya pilih logo ini dan membawanya ke hulu ke hilir. Sudah tiba masanya masyarakat di sini memilih calon bebas yang sebenarnya boleh wakili suara mereka.

“Selama ini parti-parti politik yang menjadi wakil rakyat namun permasalahan warga Cameron Highlands di sini tidak selesai sehingga kini. Saya berpeluang bermesyuarat dengan kerajaan BN sebelum ini selama 15 tahun.

“Sekarang kerajaan PH pula. Pengalaman 15 tahun ini sebenarnya telah banyak mengajar saya untuk menyuarakan masalah komuniti di Parlimen Cameron Highlands.

“Antara masalah sebelum ini ialah, rata-rata wakil rakyat semuanya bukan berasal dari sini, agak sukar untuk memahami atau menyampaikan mesej penduduk.

MGF16012019_WALKABOUT CALON BEBAS WEE10
Calon bebas, Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penduduk setempat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

“Saya sendiri pernah menghantar begitu banyak memorandum sebelum ini tetapi sokongan sangat kurang.

“Oleh yang demikian, saya buat keputusan untuk bertanding, niat bertanding pernah ada sebelum ini ketika PRU-14 lagi di Dun Tanah Rata tetapi tarik diri kerana ketika itu pilihan raya berkisar lebih kepada menukar kerajaan. PRK ini saya akan gunakan sebaik mungkin.

“Kita perlu ingat juga, Cameron Highlands ini lain, kerajaan Pusatnya adalah PH manakala negerinya masih BN. Jadi sangat elok jika calon bebas seperti saya yang tiada parti politik ini bertanding dan mempunyai peluang untuk menang.

“Niat saya, objektif saya hanya satu, isu persekitaran, pertanian serta mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Cameron Highlands, kurangkan politik lebihkan kehendak dan hasrat penduduk di sini,” katanya sebentar tadi.

MGF16012019_WALKABOUT CALON BEBAS WEE08
Calon bebas, Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penduduk setempat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Dengan memakai topi mengkuang, but kuning serta memegang cangkul sebenarnya telah membawa imej yang sangat baik dalam kalangan penduduk Cameron Highlands sejak lima hari berkempen oleh Seng Yee.

Kata beliau, sejak mula berkempen, beliau juga telah susut berat badan sehingga hilang 4kg.

“Mungkin juga saya sibuk berkempen dengan jentera terhad, saya juga kurang minum air. Semua kemungkinan tetapi semua itu tidak penting.

“Bagi saya, yang penting PRK ini sangat penting apatah lagi selama ini perhatian kurang diberikan kepada Cameron Highlands kecuali jika pilihan raya sudah dekat. Bukan hendak salahkan sesiapa atau tuding jari, hakikatnya perhatian kurang diberikan sebenarnya.

“Jika kalah, tidak apa juga tetapi saya perlu sampaikan mesej yang jelas dan permasalahan yang timbul untuk didengari kepada kerajaan Pusat dan negeri. Jika kalah pun, mesej saya akan tetap dibawa dan sampai ke perhatian mereka,” katanya.

MGF16012019_WALKABOUT CALON BEBAS WEE09
Calon bebas, Wong Seng Yee (kiri) bersalaman dengan sebahagian penduduk setempat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Calon bebas ini juga dilihat sangat diterima oleh semua dan mudah mesra dengan rata-rata penduduk apatah lagi ramai yang mengenali Seng Yee dan keluarganya malah secara terbuka menyatakan sokongan kepadanya.

Seng Yee merupakan anak jati Cameron Highlands yang menguasahakan ladang bunga kekwa di Habu sejak bertahun-tahun memiliki ijazah sarjana dalam bidang pendidikan sains dan pertanian. – MalaysiaGazette