Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin

TANAH RATA – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan institusi kehakiman di negara ini agar lebih berhati-hati dalam setiap perlakuan ketika menghadiri mana-mana majlis yang dihadiri oleh Menteri Kabinet.

Khairy Jamaluddin berkata, perlakuan itu termasuk menari dalam sesuatu majlis itu bukan kesalahan namun ia perlu dielakkan bagi mengelakkan ia dipertikai khususnya melibatkan isu pemisahan kuasa.

“Bagi saya tiada masalah, tapi ada kata tak sesuai atas satu pentas ada Ketua Hakim Negara, ada Peguam Negara, ada Menteri bertanggungjawab atas undang-undang.

“Ini mengundang satu kritikan bahawa seolah-olah pemisahan kuasa itu tidak dihormati kerana mereka berinteraksi secara sosial. Bagi saya bukan soal moral tapi lebih kepada soal pemisahan kuasa, kalau rakyat nak tegur terima sajalah.

“Bagi saya kalau Ketua Hakim Negara, Peguam Negara ada, Menteri undang-undang ada tiada masalah untuk berada dalam satu majlis, tetapi kita harus elak apa-apa tindakan yang boleh mengundang spekulasi negatif,” katanya pada sidang media ketika majlis ramah mesra bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Ruil, di sini, hari ini.

Beliau mengulas video Peguam Negara, Tommy Thomas yang menari di atas pentas di sebuah majlis makan malam pengamal undang-undang yang tular di media sosial, sejak semalam.

Selain Tommy, tarian pentas sempena Opening Of The Legal Year 2019 itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan peguam kontroversi, Siti Kassim. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat yg mane menegur? Klu dok asyik yg menegur tak lain Rakyat yg sensitif, Maka ape je yg di buat luar Dari batasan, sentiasa di tegur.

    Sejarah kemanusiaan di ulangi oleh penegur yg belenggu dlm batasan adab The Conservative dgn mereka yg melepasi adab THE MODERNIST dgn mereka yg jauh mempelopori tamaddun, THE POST MODERNIST.

Comments are closed.