Ramsay Anak Embol
ACP Ramsay Embol

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lagi daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam, Klang, ditemukan di perairan Hutan Melintang, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mangsa dipercayai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, berdasarkan pengecaman awal oleh waris menerusi gambar dan kasut yang dipakai mangsa.

Menurutnya, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan mengenai penemuan mayat lelaki terapung di perairan berkenaan kira-kira pukul 4.26 petang.

“Kapal Maritim Nusa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak tiba di lokasi kira-kira pukul 5.05 petang dan mengesahkan penemuan itu.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan penemuan itu, enam daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang telah ditemukan membabitkan empat mangsa yang selamat dan dua mangsa meninggal dunia.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, masih belum ditemukan.

Operasi SAR yang memasuki hari kelima disambung semula pada pukul 7 pagi tadi dengan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.

Pada Isnin lalu, APMM Selangor melancarkan operasi SAR selepas menerima laporan kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank kira-kira pukul 3.35 pagi.

Empat mangsa ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pada Rabu lalu, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang kira-kira pukul 8.30 pagi.

Operasi SAR kini diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir yang masih hilang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here