Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob

KUANTAN – Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu serta penumpang sebuah Perodua Myvi yang meninggalkan kereta itu selepas terbabit kemalangan maut di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong pada 15 September lepas.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, ia selepas tangkapan dilakukan terhadap pemilik yang mendakwa menyewakan kereta itu kepada ketiga-tiga suspek yang merupakan rakan-rakannya.

“Lelaki berusia 30-an itu ditahan pada hari sama dan direman selepas mendapati ujian saringan air kencing positif bahan terlarang.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mereka berusia 30-an turut terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan dan kita percaya mereka melarikan diri selepas kemalangan itu kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, pemilik kenderaan yang ditahan itu dijangka akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa esok.

Media sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal, Fazlizal Abdul Samad, 41, maut selepas dilanggar Myvi berkenaan dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di lokasi terbabit.

Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang kereta Myvi itu dipercayai meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran selepas kemalangan tersebut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Polis buru 3 individu tinggalkan Myvi selepas kemalangan maut di Bentong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here