Hantaran terbaharu Siti Kasim di laman Twitter

KUALA LUMPUR – Peguam Siti Kasim dan warganet mempersoalkan tindakan Penerbangan Malaysia (MAB) memohon maaf kerana memaparkan iklan hidangan babi di dalam majalah Going Places edisi Januari.

Siti Kasim dalam hantaran terbaharu di laman Twitter berkata, adakah MAB juga akan meminta maaf kepada penganut agama Hindu kerana memaparkan hidangan daging lembu?

“MAS tidak sepatutnya melayan komplen-komplen bodoh. Babi memang dimakan oleh sebahagian rakyat Malaysia. Mengapa hanya sensitif kepada satu bahagian dari masyarakat kita?” soalnya.

Pandangan beliau itu turut disokong oleh warganet yang mahu MAS bersikap terbuka kerana syarikat penerbangan itu menerbangkan penumpang berbilang bangsa dan agama.

MAB semalam meminta maaf berikutan aduan beberapa pihak termasuk bekas pengerusi syarikat penerbangan itu Tan Sri Abd Aziz Abdul Rahman yang menyifatkan penyiaran artikel tersebut sebagai tidak sesuai.

Majalah Going Places edisi Januari yang disediakan di dalam penerbangan menampilkan sebuah restoran yang menyajikan pelbagai hidangan di ruangan iklan, Restaurant Openings.

“Dilampirkan bersama artikel tersebut adalah gambar daging lembu wagyu dan juga sotong. Seperti mana-mana majalah gaya hidup, ulasan restoran untuk mempromosikan restoran tempatan kepada penumpang dari seluruh dunia.

“Malaysia merupakan negara pelbagai budaya dan ulasan restoran tersebut bukan bertujuan menyinggung mana-mana pihak,” kata MAB dalam kenyataan semalam. – MalaysiaGazette