ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan awal hari ini, berikutan harga minyak global yang lemah menghalang sentimen belian terhadap nota tempatan.

Pada 9.10 pagi, ringgit berada pada 4.1200/1250 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1150 Jumaat lalu.

Peniaga berkata, penyusutan harga minyak global disebabkan kebimbangan terhadap permintaan yang lebih perlahan di masa depan, selain konflik perdagangan AS-China dijangka melemahkan pertumbuhan global.

“Harga minyak yang lebih lemah dilihat negatif bagi ringgit kerana ia akan menjejaskan hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent turun 0.2 peratus kepada AS$62.64 setong manakala kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 0.1 peratus kepada AS$53.70 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mendatar berbanding dolar Singapura kepada 3.0303/0351 daripada 3.0303/0362 tetapi lebih rendah berbanding euro pada 4.6832/6893 daripada 4.6817/6890 Jumaat lalu.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7602/7654 daripada 3.7606/7659 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3099/3180 daripada 5.3315/3396. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast