Teman Acik.

CAMERON HIGHLANDS – Isu penempatan orang Asli bukan perkara baharu bahkan kini ia dijadikan sebagai bahan kempen bagi keempat-empat calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Tinjauan Malaysia Gazette di penempatan orang Asli di Kampung Sungai Tiang di Sungai Bertam baru-baru ini mendapati isu utama dibangkitkan oleh komuniti itu ialah isu bekalan air bersih, masalah rumah uzur dan sempit serta isu tanah adat.

Menurut seorang penduduknya, Teman Achik, 52, masalah rumah uzur dan sempit berpunca selepas dua buah kampung itu Kampung Sungai Chohong dan Kampung Sungai Kabung dipindahkan ke penempatan Orang Asli itu.

Teman berkata, kepadatan penduduk Orang Asli telah menyebabkan kebanyakan unit di Kampung Sungai Tiang itu dihuni sehingga tiga buah keluarga dalam sebuah rumah yang dibina Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) sejak tahun 2001.

Katanya, kepadatan penduduk kampung itu menyebabkan Orang Asli terpaksa menggunakan sepenuhnya tanah seluas 95 ekar itu termasuk Tok Batin sendiri membina rumah buluh di atas longkang.

“Kita duduk di hutan (Kampung Sungai Chohong) banyak curam, banjir, batu dan kayu, nanti tumbang dan tanah (runtuh) kita takut mati. Sebab itu kita gabung sama-sama nak bagi selamat.

“Kerajaan yang bagi rumah papan ini tetapi bagus, kita banyak terima kasih. Tapi masalah dia dinding dan tiang tiang reput, atap sudah bocor, dari luar nampak cantik, dalam kena air sampai kayu reput.

“Nah tengok longkang, semua rumah teruk, rumah papan ini ada 15 buah, ditambah rumah simen tiga buah dan rumah buluh ada 10 buah.

“Rumah buluh dibuat di antara rumah papan sebab tak cukup nak tidur. Satu rumah ini ada sampai tiga kelamin sebab nak tidur tak ada tempat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, komuniti Orang Asli di situ turut berdepan dengan masalah bekalan air bersih khususnya apabila musim hujan menyebabkan kolam tadahan air di kampung itu dicemari dengan sisa racun dari kebun sayur berhampiran.

“Atas sana ada kebun Cina, kalau musim hujan lebat, air kita akan jadi kotor, sampai tak boleh minum sebab racun kebun masuk kolam air kita,” katanya.

Kata Teman lagi, komuniti itu turut terancam keselamatan apabila orang luar mengganggu mereka termasuk membaling batu ke arah rumah masyarakat Orang Asli di situ.

“Kita minta banyak kali pintu pagar ini langsung tak boleh dapat, sebab siang dan malam kena tutup kerana budak main bola sampai jalan raya bila motor mari sudah langgar.

“Kita nak tutup nanti orang luar yang minum arak dia baling batu, kita tak suka, yang penting sebab budak sekolah,” katanya.

Bagi Aseh Busu, 22, dia yang mempunyai tiga anak terpaksa keluar dari rumah papan yang dibina Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2001 itu dan membina rumah buluh di tepi pagar perkampungan itu.

Aseh Busu
Aseh Busu

“Dulu duduk Kampung Sungai Chohong, pindah ke sini sebab orang bagi rumah ini (rumah papan), kerajaan BN bagi. Rumah buluh ini buat sendiri, ramai juga buat rumah buluh sebab tak cukup tempat duduk dalam rumah papan.

“Rumah batu tak semua orang Asli dapat, rumah batu generasi pertama dapat laa, orang tua dapat, kita yang baru ini (generasi baru) tiada,” katanya.

Kata Aseh lagi, kampung asalnya yang terletak hampir 30 minit perjalanan itu kini menjadi lokasi untuk bercucuk tanam dan tempat memancing ikan air sungai.

“Kampung ini dekat dengan sungai tapi kotor, sebab itu tak ada ikan, kalau Kampung Chohong sana ada juga ikan. Kalau nak makan ikan sungai kena pergi kampung sana memancing.

“Kalau kita duduk rumah buluh, susah nak cari kayu ini, kita masuk hutan potong kayu sendiri, susah sangat (nak dapat tunggu bantuan).

“Kalau ada kereta Cina, kita tumpang masuk (kayu hutan) susah sangat,” katanya.

Sementara itu, Afendi Siten, 32, pula berkata, dia sekeluarga pernah meminta kepada kerajaan negeri Pahang untuk dipindahkan semula ke kampung asal susulan bekalan air terjejas hingga tidak boleh dijadikan sebagai air minuman dan memasak.

WhatsApp Image 2019-01-23 at 7.54.02 PM (2)
Afendi Siten

Tuntutan tersebut adalah bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan syarikat sekutunya, AirAsia X Bhd. akibat gangguan operasi di klia2.

“Saya duduk sini, saya hanya kerja berkebun saja kebun sendiri tanam ubi, kebun di sana (Kampung Sungai Sohong) tapi kita duduk dekat sini.

“Dulu, kita duduk Kampung Sungai Chohong tapi JKOA buat rumah di Sungai Tiang, kemudian panggil kita duduk sini. Sekarang tak boleh balik kampung sana.

“Sebab itu kita sayang tempat sana, nak apa-apa kita boleh tanah di sana. Kita tak duduk (lama) sebab ini tempat orang

“Tak selesa duduk sini sebab air tak okay tak bersih, air rumah kita minum kotor. Masa tak ada hujan air bersih di sini, kalau hujan air serupa susu tak boleh minum macam teh tarik,” katanya.

Katanya lagi, apabila siap sahaja kemudahan sistem bekalan air tanah yang dibina oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia barulah pihaknya mendapat bekalan air bersih.

“Kalau hujan, air longkang mengalir masuk dalam kolam kita, di kolam ada letak tong air dan air kolam pula akan masuk ke dalam tong air itu.

“Bila hujan air masuk kolam dan tong air jadi kotor bercampur. Kalau air kolam kotor, kita ambil air dekat sini (air bawah tanah) sini air bersih, ada dua paip, semua datang amil air untuk minum makan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette