KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini menjalinkan kerjasama dalam memperkenalkan konsep pengajian yang baharu di universiti itu bagi pengambilan Pegawai Kadet (Juruterbang) TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program baharu itu dinamakan sebagai 2u2i (2 tahun pengajian di UPNM 2 tahun Latihan Industri) dapat menjimatkan masa dalam menganugerahkan sayap penerbangan kepada pelatih.

Menerusi program itu, Pegawai Kadet yang terpilih akan menjalani fasa akademik selama 2 tahun di UPNM dan seterusnya menjalani fasa latihan industri iaitu (fasa latihan penerbangan) selama 2 tahun di Kolej Tentera Udara (KTU).

Bagi pengambilan pertama Pegawai Kadet (Juruterbang), seramai 23 orang dari Program Asasi Sains 2017 dipilih untuk memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Penerbangan.

Mereka terdiri daripada 17 pelatih dari Tentera Udara Di-Raja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM) 4 orang dan Tentara Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) 2 orang.

“Mereka telah memulakan pembelajaran (fasa 2u) pada September 2018 yang lepas. Kesemua Pegawai Kadet ini dijangka menamatkan pengajian mereka pada Oktober 2022.

“Seterusnya mereka akan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM/ATM berpangkat Lt Muda serta dianugerahkan sayap penerbangan oleh DYMM SPB YDP Agong bersama Ijazah Sarjana Muda Penerbangan mereka,” menurut portal TUDM.

Katanya, faktor utama diperkenalkan pengajian itu adalah bagi menjimatkan masa dalam menganugerahkan sayap penerbangan kepada setiap Pegawai TUDM/ATM pada usia lebih muda.

Sebelum ini, katanya, purata umur Pegawai TUDM/ATM yang  dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 26 tahun.

Katanya, ini kerana setiap mereka perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda mereka di UPNM atau IPTA terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mengikuti latihan penerbangan di KTU.

Melalui program yang dilaksanakan ini, dijangkakan usia Pegawai TUDM/ATM dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 23 tahun.

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama itu yang berlangsung di Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, Kedah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang mewakili Panglima Angkatan Tentera dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal. – MalaysiaGazette