Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Loh Chee Heng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 ketika beliau menjadi ADUN kawasan Telok Datok (kini Banting), empat tahun lepas.
Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Loh Chee Heng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 ketika beliau menjadi ADUN kawasan Telok Datok (kini Banting), empat tahun lepas.

SHAH ALAM – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Loh Chee Heng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 ketika beliau menjadi ADUN kawasan Telok Datok (kini Banting), empat tahun lepas.

Loh, 41, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-t hijau dan berseluar hitam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau sebagai ADUN Telok Datok didakwa memperdayakan prinsipalnya dengan menggunakan suatu dokumen iaitu Kelulusan Pengeluaran Peruntukan dan Kertas Kerja mengenai Program Sambutan Hari Guru Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok 2015 yang mengandungi butiran palsu, di mana beliau telah memohon pengeluaran peruntukan berjumlah RM13,380 sedangkan beliau tahu program tersebut tidak dilaksanakan.

Loh juga didakwa memperdayakan prinsipalnya dengan menggunakan suatu dokumen iaitu Kelulusan Pengeluaran Peruntukan dan Kertas Kerja mengenai Program Pesta Tang Lung Tahun 2015 DUN Telok Datok yang mengandungi butiran palsu, di mana beliau telah memohon pengeluaran peruntukan berjumlah RM20,000 sedangkan beliau tahu program tersebut tidak dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Pejabat Daerah Kuala Langat pada 8 Jun 2015 dan 23 Sept 2015 dan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kedua-dua kesalahan, Loh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau butiran yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Sabri membenarkan Loh dibebaskan dengan jaminan RM40,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohamad Suffian Ja’afar memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin, namun sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan pihaknya mencadangkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Keppy Wong yang mewakili Loh bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak berusia 13 tahun, lapan tahun dan lima tahun.

“Anak guam saya berkhidmat sebagai ADUN Telok Datok selama lima tahun dari 2013 sehingga 2018, bagaimanapun beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana tiada kerja tetap. Jika jaminan ditetapkan RM100,000 anak guam saya mungkin akan direman dalam penjara sepanjang prosiding kes ini berjalan,” katanya.

Pada 2016, Loh menjadi wakil rakyat Bebas selepas keanggotaannya dalam DAP ditamatkan atas dakwaan menyalahgunakan dana yang diperuntukkan bagi kawasannya.

— BERNAMA