Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kalau kerajaan Pakatan Harapan (PH) ikhlas hendak membantu Orang Asli, kenapa mereka membatalkan dua projek kemajuan untuk masyarakat itu yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Malah, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaik PH mengambil alih kerajaan Persekutuan pada 19 Mei lalu, mereka tidak meneruskan cadangan kerajaan BN untuk projek pembinaan Pusat Sehenti di Cameron Highlands.

Katanya, beliau difahamkan oleh sumber yang sahih bahawa kerajaan PH turut membatalkan satu dana untuk prasarana perkampungan Orang Asli bagi tahun 2019.

“Semua projek yang diluluskan itu adalah antara perancangan dan bukti keprihatinan kerajaan BN sebelum ini, tetapi malangnya kerajaan PH telah membatalkannya.

“Oleh itu, Orang Asli perlu tahu siapa yang membantu mereka dan siapa pula yang mencantas serta membatalkan projek untuk kemajuan mereka.

“Kerajaan BN dahulu sememangnya menjaga kebajikan Orang Asli. Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak pernah tahu perkembangan pembangunan Orang Asli sehingga tanpa sedar beliau mengakui tidak tahu menahu walau status kedudukan masyarakat itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau menasihatkan masyarakat Orang Asli agar tidak menyokong DAP yang tidak pernah memikirkan pembangunan mereka, malah kerajaan baharu itu juga membatalkan projek untuk kepentingan mereka.

Ismail Sabri berkata, beliau juga terkesima dengan kenyataan Kit Siang kononnya peka dan berhasrat jika calon PH menang di Cameron Highland Sabtu ini, beliau akan mengusulkan supaya Orang Asli akan diberikan taraf kerakyatan penuh Malaysia.

Katanya, apakah selama ini Kit Siang menganggap masyarakat Orang Asli itu berstatus Penduduk Tetap (PR) yang diberikan kerajaan Malaysia?

Walhal kata beliau, Orang Asli merupakan masyarakat Bumiputera yang cukup istimewa.

“Untuk pendidikan mereka sahaja kerajaan menyediakan biasiswa penuh, bukan sahaja sekolah, mereka dibekalkan dengan pakaian lengkap persekolahan percuma dan mendapat duit poket dari kerajaan dan lain-lain keistimewaan.

“Apakah secetek itu pemikiran seorang Ahli Parlimen yang paling lama berada dalam Dewan Rakyat ini?

“Untuk pengetahuan Kit Siang, kabinet kerajaan BN sebelum ini telah mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli untuk memantau pembangunan masyarakat itu,” katanya.

Katanya, majlis ini dipengerusikan beliau sendiri yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jelas beliau, jawatankuasa dalam majlis tersebut terdiri daripada wakil Orang Asli, Persatuan Orang Asli Semenanjung, wakil Persatuan Keusahawan Orang Asli, wakil profesional, wakil belia Orang Asli dan lain-lain.

“Majlis ini adalah badan bertindak bagi pihak kerajaan untuk mengkaji dan memikirkan keperluan pembangunan kepada seluruh masyarakat Orang Asli Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ketika menteri, dalam mengangkat martabat masyarakat itu, beliau telah melantik Orang Asli pertama dalam sejarah apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diterajui seorang berpangkat Ketua Pengarah dari kalangan mereka, iaitu Datuk Ajis Sitin yang berasal dari Cameron Highland yang ketika itu berkhidmat di Kementerian Kerja Raya.

“Pengarah negeri seperti Pahang dan Perak adalah dari kalangan masyarakat Orang Asli. Malah, Johor ketika itu dalam tindakan untuk mengesahkan jawatan pengarah juga dari kalangan Orang Asli.

“Ketika itu pencapaian tertinggi Orang Asli ialah berjaya melahirkan empat orang lulusan Falsafah Kedoktoran (PhD) Holder dari masyarakat mereka hasil dari keistimewaan yang disediakan kerajaan BN sebelum ini.

“Sasaran kerajaan ketika itu ialah untuk menghantar 15 pelajar dari masyarakat Orang Asli ke luar negara setiap tahun dalam pelbagai kursus dan mendapat biasiswa penuh bawah tajaan MARA,” ujar beliau. – MalaysiaGazette