Sebahagian dari persembahan seni mempertahankan diri oleh pelatih PULAPOL Kuala Lumpur pada Program Ronda Cegah Jenayah yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Kompleks Membeli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2019
KUALA LUMPUR – Kadar jenayah negara menurun sebanyak 11.9 peratus sepanjang tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil kejayaan itu juga menjadikan Malaysia berada dalam tangga ke-25 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2018.
Selain itu, katanya indeks berkenaan juga mengiktiraf Malaysia sebagai negara kedua paling aman di Asia Tenggara selepas Singapura.
“Yang lebih membanggakan, penurunan kadar jenayah ini merekodkan kesemua 14 negeri dan tiada negeri yang merekodkan peningkatan dalam kadar jenayah tahun lepas.
“Cuma, di beberapa negeri menyaksikan penurunan jenayah itu agak minimum dan saya sudah mengarahkan kontinjen di setiap negeri supaya menggandakan usaha bagi memperbaiki indeks itu,” katanya dalam sidang media di Berjaya Times Square hari ini.
Beliau terdahulu hadir merasmikan Program Ronda dan Cegah Jenayah melibatkan Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur bersama Ketua Polis Negara di sini.
Tambah Muhammad Fuzi, pengiktirafan berkenaan juga secara tidak langsung meningkatkan  rasa selamat dan mengurangkan fear of crime dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke negara ini.
Dalam pada itu, kadar jenayah Kuala Lumpur juga berjaya menyaksikan penurunan 10.9 peratus atau 1,481 kes dan ia satu kadar yang agak tinggi pernah dicatatkan setakat ini sambil memuji segala langkah penguatkuasaan yang telah dilaksanakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Bagi mengekalkan keharmonian serta keamanan, beliau turut mengajak masyarakat sekitar untuk memainkan peranan proaktif dalam usaha mencegah jenayah.
Menurut beliau, program yang dibuat kali keenam itu merupakan kesinambungan daripada beberapa operasi yang diadakan di lokasi terpilih sekitar Lembah Klang seperti Kuala Lumpur City Centre dan Central Market, dan kali ini Berjaya Times Square dipilih untuk pemantauan dan pencegahan jenayah.
“Kita masih mengekalkan pelatih daripada Pulapol sebagai tunjang utama dalam siri rondaan kali ini yang akan memberi pengalaman meningkatkan kecekapan semasa bertugas di lapangan kelak.
“Penugasan terbahagi kepada 20 pasukan dengan 350 kekuatan pelatih  kadet inspektor termasuk 40 pelatih wanita dengan diselia 20 pegawai polis dari Dang Wangi yang akan terlibat rondaan di lima lokasi sekitar Times Square dan Imbi.
“Untuk rekod, kadar jenayah di Berjaya Times Square juga menurun kepada 57 kes untuk 2018 berbanding 85 kes pada tahun sebelum ini sekaligus membuktikan keberkesanan operasi menerusi kerjasama polis dan masyarakat setiap masa.
“Saya juga turun padang sendiri mendapatkan pndangan dan pendapat masyarakat mengenai aspek keselamatan supaya terus dapat diperbaiki penguat kuasa pada masa akan datang,” ujarnya.- MalaysiaGazette