Harga ikan meningkat pada bulan Mei.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi bagi bulan Disember 2018 meningkat 0.2 peratus kepada 121.1 berbanding 120.9 pada bulan yang sama tahun lepas.

Kenaikan indeks keseluruhan ini disebabkan oleh kenaikan harga bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.0 peratus), restoran & hotel (+1.3 peratus), minuman alkohol & tembakau (+1.1 peratus), pendidikan (+1.1 peratus) dan makanan & minuman bukan alkohol (+0.7 peratus). (Carta 1)

Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding bulan November 2018.

IHP bagi tempoh Januari – Disember 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 0.7 peratus pada Disember 2018.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan daging (+1.0 peratus), susu & telur (+0.9 peratus) dan buah-buahan (+0.5 peratus).

Manakala, indeks bagi subkumpulan sayur-sayuran turun 4.4 peratus dan diikuti oleh subkumpulan gula, jem, madu, coklat & manisan (-2.0 peratus) dan minyak & lemak (-0.8 peratus).

Antara indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri adalah bawang putih (-19.5 peratus), bawang merah (-13.7 peratus), cili merah (-11.1 peratus), bawang besar (-9.9 peratus), sawi (-7.0 peratus), sotong (-3.2 peratus), ikan Kembong (-0.5 peratus) dan udang (-0.5 peratus).

Sementara itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 2.7 peratus pada Disember 2018 berbanding Disember 2017.

Kenaikan harga bagi ayam goreng, nasi campur dan makanan berasaskan mee telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.

Secara keseluruhan, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 0.2 peratus yang dicatatkan pada Disember 2018 berbanding Disember 2017 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.0 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus) dan Negeri Sembilan (+0.4 peratus).

Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional.

Kenaikan indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Tiga negeri mencatatkan kenaikan indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+0.7 peratus) bagi Disember 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan kenaikan 3.9 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (+1.0 peratus) dan Negeri Sembilan (+0.8 peratus).

Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol. – MalaysiaGazette