KUALA LUMPUR – Seorang wartawan penyiaran, Ridhuan Hussain memohon maaf gara-gara kesilapannya menyebut almarhum merujuk kepada bapa Sultan Pahang.

Gara-gara kesilapan itu, wartawan Ntv7 itu memohon maaf kepada Sultan Ahmad Shah dan anakandanya yang juga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.

Sebelum itu, ada post daripada warganet menegur Ridhuan atas kesilapan itu dan mahu dia mendalami bahasa istana terlebih dahulu.

“Merujuk kepada gambar serta post berkenaan, saya mengakui akan kesalahan yang telah saya lakukan ketika lintas langsung berkenaan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

“Sejujurnya, saya menyesali akan kesalahan yang tidak disengajakan itu dan ingin merafak sembah serta memohon ampun kepada Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh kerabat Diraja Pahang atas kekhilafan itu. Tidak dilupakan, rakyat jelata Pahang secara keseluruhannya,” katanya dalam media sosialnya hari ini.

Sebagai seorang wartawan, menurutnya beliau bertanggungjawab sepenuhnya akan kesilapan itu yang mana tidak sama sekali menggambarkan kualiti serta tahap profesional sebenar yang diamalkan mana-mana saluran berita, jabatan atau syarikat yang saya wakili.

“Ia merupakan kesalahan saya sepenuhnya dan saya bertanggungjawab ke atasnya sendiri,” ujarnya lagi.

Hakikat Ridhuan menegaskan, ia bukanlah kesalahan yang disengajakan dan juga bukan berpunca daripada kurang maklum atau arif akan istilah-istilah istana.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast