TANAH RATA – Menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok, sebanyak 29 laporan polis diterima tentang pelbagai salah laku sepanjang tempoh kempen yang akan berakhir tengah malam ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, daripada kesemua laporan itu, hanya satu kertas siasatan telah dibuka pihaknya berkaitan penyebaran kertas undi pos yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Manakala 28 kes lain dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRK Cameron Highlands di sini, hari ini.

Awal hari ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya telah menerima 29 laporan berhubung kesalahan pilihan raya manakala lapan kes pula melibatkan kes rasuah.

Malah sebelum ini juga, SPR menerima laporan mengenai jentera Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada beberapa individu yang memakai baju Harapan dipercayai Orang Asli selepas proses penamaan calon di sini, 12 Januari lalu.

Selain itu, seorang timbalan menteri PH juga didakwa menyalahgunakan kenderaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk tujuan kempen PRK Cameron Highlands di Sungai Koyan, minggu lalu.

Sementara itu, mengulas persediaan PDRM menjelang hari pengundian esok, Mohd Zakaria berkata, seramai 1,148 pegawai dan anggota polis ditempatkan di seluruh Cameron Highlands bagi menjaga keselamatan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 110 anggota trafik ditempatkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai berikutan pertambahan kenderaan pada hari mengundi yang jatuh pada hari Sabtu.

“Dari aspek keselamatan, secara keseluruhannya keadaan adalah baik dan sepanjang tempoh berkempen dan keadaan masyarakat bebas bergerak serta tiada ganggu gugat.

“Kita harap ia berterusan hinggalah hari mengundi selesai esok dan polis akan sentiasa memantau keselamatan bagi pastikan perjalanan pilihan raya berjalan licin teratur dengan aspek keselamatan terus menjadi keutamaan polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette