Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat tinjauan di kaunter-kaunter ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kelana Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JANUARI 2019

PETALING JAYA -Menteri Pengangkutan mengaku berlakunya pengurangan gaji bekas pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diserapkan ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Namun kata Anthony Loke, penggajian kakitangan agensi baharu itu kini ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang mana berbeza sebelum ini SPAD sebagai badan berkanun.

Justeru katanya penggajian baharu akan ditentukan oleh SPA mengikut gred kelayakan.

“Bukan potongan gaji, tiada ada potongan gaji, (ia) mengikut gred kakitangan awam, tangga gaji penjawatan sudah tentu ditentukan SPA.

“Dulu SPAD sebab badan berkanun yang diasingkan saraannya apabila kita serapkan di bawah Kementerian Pengangkutan. Tidak betul untuk guna perkataan potongan gaji memang akan berkurang tapi ikut gred,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat APAD di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah portal yang memetik sumber mendakwa berlaku pemotongan gaji sehingga 70 peratus terhadap pekerja SPAD yang diserap ke APAD.

Anthony bagaimanapun tidak maklum mengenai jumlah pengurangan gaji seperti yang didakwa.

“Saya tidak tahu angka 70 peratus itu,” katanya selain mengulangi jaminannya sebelum ini, semua pekerja SPAD akan diserap kembali diserapkan ke APAD.

“Kepada bekas pegawai-pegawai atau kakitangan-kakitangan SPAD yang belum diserapkan atau dilantik dalam penjawatan ini kita akan terus memantau kita tahu ada dalam kalangan mereka masih resah dan bimbang.

“Kita faham tapi kita telah buat jaminan mereka akan ditawarkan, terpulang mereka menerima atau tidak sebab ada lalui SPA (penilaian),” ujarnya.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Seremban itu turut mengakui APAD yang baharu sahaja mula beroperasi sejak 7 Januari lalu telah menerima aduan kelewatan akibat masalah teknikal.

Ini kerana sehingga kini agensi itu masih kekurangan kakitangan apabila daripada 361 penjawatan yang perlu diisi hanya 253 telah diluluskan oleh SPA dan telah memulakan kerja, katanya.

“Ini beri kesan operasi kepada orang ramai. Sebab itu ada kaunter yang kosong sebab kurang staf,” katanya lagi.

Justeru, selain daripada mengharapkan proses penyerapan yang juga perlu melalui kelulusan daripada SPA perlu dipercepatkan, kakitangan terkini di APAD akan bekerja lebih masa demi memudahkan kelulusan permohonan berkenaan dengan pengangkutan awam, katanya.

Selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum lalu SPAD dimansuhkan dan digantikan dengan sebuah entiti baharu yang dikenali sebagai APAD.- MalaysiaGazette