KUALA LUMPUR – Sebuah program berunsurkan kesihatan ‘Doctor Run 2019’ bakal diadakan pada 24 Mac ini.

Program berkenaan menyasarkan seramai 5,000 peserta.

Menerusi kenyataan Penyelaras program itu, Ilzamy Nabhani berkata, program tersebut diadakan bagi mengumpul dana Tabung Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim).

Dalam pada masa sama katanya, larian itu mampu meningkatkan kesedaran kesihatan kepada segenap lapisan masyarakat.

“Perdim berharap, acara ini akan menjadi program tahunan dan dapat memupuk kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya.

Dengan bertemakan ‘Health Is Precious, Together We Care’, setiap dana akan disalur untuk membantu Perdim bagi membiayai kos-kos operasi serta aktiviti yang berlandaskan keilmuan dan penjagaan kesihatan, katanya.

Perdim merupakan pertubuhan kedoktoran yang aktif dalam menjalankan program-program berorientasikan keilmuan dan kesihatan bagi kepentingan masyarakat.

Lebih menarik larian yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bermula pukul 6 pagi itu menawarkan hadiah wang tunai bagi peserta tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Selain menyasarkan peserta daripada pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan, orang ramai di sekitar Lembah Klang turut dialu-alukan.

Orang ramai yang berminat menyertai larian ini boleh klik pautan DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette