Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah memutuskan untuk menamatkan kontrak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi perbincangan sekian lama sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Peta laluan ECRL yang dikatakan melibatkan kos berpuluh bilion ringgit.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah memutuskan untuk menamatkan kontrak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi perbincangan sekian lama sejak Pilihan Raya Umum 2018.

Sinchew Daily melaporkan, mesyuarat Kabinet bagaimanapun tidak berbincang tentang soal ganti rugi.

Menurut akhbar itu, kerajaan masih berunding dengan kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction Company (CCCC) berhubung jumlah ganti rugi yang perlu dilangsaikan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya isu yang sama bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu sama ada kontrak kepada CCCC sudah ditamatkan atau tidak.

Perdana Menteri berkata, beliau baru pulang dari lawatan kerja di luar negara dan tidak sedar mengenai penamatan kontrak berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap Kedutaan China di Malaysia, Tang Tang enggan memberi ulasan mengenai laporan media tentang pembatalan kontrak dengan CCCC.

“Saya tidak boleh memberi ulasan berhubung isu ini pada masa ini,” katanya.

Straits Times dari Singapura melaporkan, kontrak dengan CCCC telah dibatalkan secara rasmi pada Selasa dan kerajaan sedang mencari kontraktor baharu untuk mengendalikan projek rel itu dengan harga lebih rendah.

Menurut laporan, kerajaan berusaha mahu kos dikurangkan separuh selain meminta lebih banyak bahan dan kepakaran tempatan digunakan dalam proses pembinaan.

1 Komen

Comments are closed.