PLUS

KUALA LUMPUR- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan penggunaan Lorong Kecemasan di 2 lokasi kritikal di Lebuhraya Utara-Selatan bertujuan untuk melancarkan perjalanan orang ramai di kedua-dua lokasi pada musim perayaan yang akan datang.

Lorong Kecemasan hanya akan dibuka di dua lokasi kritikal di Lebuhraya (dan bukan sepanjang Lebuhraya) iaitu:-
Simpang Pulai – Gopeng (KM287 – KM295.1) iaitu sepanjang kira-kira 7 kilometer dan Slim River – Sungkai (dari KM367.6 – KM360.5) juga sepanjang tujuh kilometer.

Pembukaan hanya dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi dan kesesakan trafik adalah amat kritikal dan selepas
mendapat kebenaran polis di lokasi.

Tambahnya, pembukaan Lorong Kecemasan hanyalah selepas PLUS dan polis membuat penilaian tentang keselamatan di lokasi.

Pembukaan Lorong Kecemasan hanya akan diadakan selepas semua papan tanda keselamatan, trak tunda (sekiranya berlaku kemalangan) serta anggota keselamatan bersedia di lokasi.

Langkah menggunakan Lorong Kecemasan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti trafik di laluan utama yang dapat menjurus kepada laluan lebih lancar, seterusnya mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.

PLUS berkata, penggunaan Lorong Kecemasan ini akan dihentikan sekiranya keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa sahaja.

Berdasarkan kajian dan rekod PLUS pada musim-musim perayaan yang lalu, kesesakan trafik adalah amat teruk di kedua-dua lokasi terbabit.

“Oleh yang demikian, langkah untuk membuka Lorong kecemasan di kedua-dua lokasi adalah untuk memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai ketika bergerak pada waktu puncak di musim perayaan yang akan datang,” kata PLUS dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan rekod, perjalanan di antara Slim River dan Sungkai (sejauh 19 kilometer) lazimnya akan memakan masa hampir 45 minit pada musim perayaan akibat trafik sesak.

PLUS berharap langkah membuka Laluan Kecemasan di kedua-dua lokasi terbabit akan dapat membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang.

Langkah ini juga merupakan peringkat percubaan bagi membantu Syarikat ini menilai keberkesanannya tanpa mengabaikan keselamatan para pengguna lebuhraya.

PLUS menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari puncak pada musim perayaan ini berbanding 1.45 juta pada hari-hari biasa, iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus. – MalaysiaGazette