Pasukan anti-dron PDRM
Pasukan Anti-Dron PDRM ditugaskan bagi memantau aktiviti dron yang cuba menceroboh pusat mengundi di ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata. foto NIZAM ZAIN

TANAH RATA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM bukan sahaja menempatkan anggotanya untuk menjaga keselamatan pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, bahkan menugaskan pasukan anti-dron di pusat pembuangan undi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasukan anti-dron itu mula memasuki pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Tindakan polis itu dilihat sebagai keperluan keselamatan semasa bagi membendung mana-mana pihak menerbangkan unit dron ke dalam kawasan sekolah itu sebagai pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi bagi PRK Cameron Highlands.

Seramai tiga anggota anti-dron PDRM ditugaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini dan mereka dilengkapi senjata khas mirip rifel M-16.

Selain PDRM, seramai 811 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan untuk mengendalikan proses pengundian dalam PRK Cameron Highlands, hari ini.

Pasukan Anti-Dron PDRM
Pasukan Anti-Dron PDRM ditugaskan bagi memantau aktiviti dron yang cuba menceroboh pusat mengundi di ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata. foto NIZAM ZAIN

Kesemua petugas SPR itu ditempatkan di 29 pusat mengundi membabitkan 86 saluran yang mula dibuka untuk pengundian jam 8 pagi tadi dan ditutup selewat-lewatnya jam 5.30 petang ini.

Hari pembuangan undi bagi PRK Cameron Highlands hari in membabitkan 31,639 pengundi layak dan berdaftar dengan SPR.

Pilihan raya bagi kawasan kerusi P078 itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabtikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor; calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran dan dua calon Bebas iaitu Sallehuddin Abd Talib dan Wong Seng Yee.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi calon BN, Datuk C.Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata beliau berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi. – MalaysiaGazette