Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  – Malaysia perlu secara konsisten mengadakan kempen tentang kebaikan minyak sawit.

Ia bertujuan menyebarkan persepsi baik kepada negara luar khususnya Kesatuan Eropah (EU) yang mahu menyekat pengimportan minyak sawit dari Malaysia.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, tindakan EU memboikot minyak sawit adalah amat tidak adil kerana Malaysia beli banyak barang dan teknologi daripada Eropah.

“Apa yang kita eksport hanyalah minyak sawit ini pun mereka mahu larang sebab itu kita perlu ada kempen.

“Kita mulakan kempen ini sekarang sampai hujung tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program An Abundant Chinese New Year (CNY) Harvest Cooking Show yang dalam masa sama merupakan sebahagian program kempen “Sayangi Sawitku”.

Menurutnya, rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan menentang sekatan pengimportan minyak sawit dengan menimba pengetahuan tentang kebaikan minyak itu.

“Saya rasa apa yang penting rakyat Malaysia perlu sedar kebaikan minyak kelapa sawit, ini mesej penting.

“Ramai pengguna rakyat Malaysia sendiri tidak faham kebaikan minyak kelapa sawit,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau memaklumkan bakal mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bagi membincangkan isu sekatan pengimportan minyak sawit Malaysia oleh Kesatuan Eropah (EU) pada minggu depan.- MalaysiaGazette