Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pakatan Harapan (PH) perlu akur akan pilihan rakyat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, semalam.

Menurutnya, PH gagal untuk mengungkapkan wawasan bagi masa hadapan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia di Cameron Highlands dan seluruh negara.

Ia sekaligus memberikan kelemahan gabungan itu untuk merampas kerusi berkenaan dengan mengetengahkan calon sama selama tiga kali berturut-turut.

“Kita masih belum menunjukkan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka harus mengundi kita untuk ekonomi yang lebih saksama dan inklusif buat semua.

“Kelompok B40 dan M40 di Malaysia tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata – mereka memerlukan faedah yang boleh diukur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu dakwaan M Manogaran bahawa BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan kerana memainkan isu perkauman.

Manogaran berkata, beliau sama sekali tidak menyalahkan pengundi kerana kegagalannya merampas kerusi berkenaan.

“BN main isu kaum, saya tak salahkan pengundi. Ini menjadikan kami lebih kuat kerana kami tidak memandang agama dan kaum,” katanya semalam.

“Pihak berkuasa yang berkaitan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas jika dakwaan tersebut terbukti benar.

“Pengundi Malaysia mesti bertanya pada diri sendiri – adakah negara atau mana-mana komuniti mendapat pembelaan sewajarnya dengan tindakan keji dan tidak bermoral sedemikian,” katanya lagi.

Semalam, calon PH, M Manogaran tewas buat  kali ketiga kepada calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor dengan majoriti 3,238 undi.

Ramli mendapat mendapat 12,038 undi, mengalahkan Manogaran yang menperoleh 8,800 undi.

Dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang memakai simbol buku mendapat 314 undi, manakala Wong Seng Yee yang menggunakan simbol cangkul hanya meraih 276 undi. -MalaysiaGazette