Zulkifli Mohd Noor

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi di Hospital Sungai Petani hari ini.

Zulkifli dikatakan mengadu sakit dada lewat malam tadi sebelum segera dikejarkan ke hospital berkenaan selepas menziarahi ibunya di Sungai Petani pada hari yang sama.

Bagaimanapun, sejurus selepas menerima rawatan, beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung lewat jam 1 pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan Allahyarham mempunyai sejarah beberapa penyakit kritikal termasuk sakit jantung dan kencing manis sebelum ini.

Zulkifli yang begitu lantang dan kritikal sejak keluar dari DAP beberapa tahun lepas dikatakan kemudian menyertai Parti Alternatif Rakyat (PAP) dan pernah menjawat jawatan tertinggi sebagai Presiden.

Beliau telah menjadi ahli DAP selama 26 tahun, dan Allahyarham adalah satu-satunya ahli DAP berbangsa Melayu yang dipilih perwakilan sebagai Naib Pengerusi parti itu.

Allahyarham bagaimanapun meletak jawatan pada 2013 susulan pemilihan penuh kontroversi parti berkenaan, sebelum menubuhkan PAP pada 2014.

Selain meninggalkan seorang balu, Allahyarham juga mempunyai tiga orang anak, dan lima cucu, dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Gertak Sanggul, petang ini. –MalaysiaGazette