KUALA LUMPUR – Affin Hwang Asset Management Berhad melancarkan dana dagangan bursa (ETF),  TradePlus S&P New China Tracker yang telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities hari ini.

Dana ini memberi pelabur pendedahan kepada ekonomi baharu China dan peluang memanfaatkan trend pertumbuhan positif dan corak penggunaan dalam struktur ekonominya yang berubah daripada ekonomi pelaburan kepada penggunaan dan perkhidmatan.

Ia menyediakan cara yang cekap untuk pelabur mendapatkan pendedahan kepada syarikat-syarikat tersenarai China dalam industri penggunaan dan industri berlandaskan perkhidmatan yang sedang pantas berkembang.

TradePlus S&P New China Tracker akan melabur sekurang-kurangnya 70 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAB) dalam sekuriti dibenarkan dengan pilihan untuk melabur sehingga 20 peratus daripada NAB dalam derivatif dan/atau skim pelaburan bersama.

Bakinya akan dilaburkan dalam instrumen pasaran wang dan/atau deposit untuk tujuan kecairan.

Teng Chee Wai, Pengarah Urusan Affin Hwang AM berkata, menerusi dana ini, para pelabur tempatan akan dapat menyertai salah satu tema pelaburan terbesar di seluruh dunia.

Affin Hwang, katanya, melihat sedikit kelemahan dalam data China yang menunjukkan sektor pengeluaran mengalami kemelesetan disebabkan oleh konflik perdagangan.

Namun, langkah rangsangan baru-baru ini yang diumumkan oleh Beijing untuk menyokong pertumbuhan dan menampan kesan daripada perang dagangan dengan Amerika Syarikat telah melegakan pasaran dan menyuntik kecairan.

Sektor perkhidmatan dan penggunaan merangkumi lebih 60 peratus daripada sumbangan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan dijangka meningkat secara eksponen dengan tahap pendapatan yang semakin meningkat dan proses pembandaran yang pesat di sana.

Unit-unit dana akan mula diperdagangkan hari ini di Bursa Securities di bawah nama singkat saham CHINAETF-MYR untuk unit yang disebut harga dalam MYR, dan CHINAETF-USD bagi unit yang disebut harga dalam USD.

Ia menjadikan TradePlus S&P New China Tracker ini ETF tersenarai yang pertama di Malaysia dalam dwimata wang.

Pelabur boleh membeli dan menjual unit sepanjang hari perdagangan seperti saham tersenarai umum lain dengan saiz lot
minimum 100 unit.

Dana dilancarkan pada harga terbitan awal HKD10.00 seunit. – MalaysiaGazette