Lebih daripada 40,000 lesen baharu dikeluarkan kepada golongan wanita sejak enam bulan lalu. foto Agensi

JEDDAH – Jumlah golongan wanita yang mendapatkan lesen memandu meningkat dengan pantas selepas enam bulan kerajaan Arab Saudi menarik semula larangan memandu ke atas golongan tersebut.

Jumlah lesen yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut lebih daripada 40,000, menurut Jabatan Trafik.

Rata-rata wanita gembira dengan pengalaman memandu walaupun ada beberapa kes terpencil yang mana mereka diganggu semasa memandu.

Namun secara keseluruhannya, golongan itu berjaya mengatasi semua ketakutan.

Iman Kanani berkata, pengalamannya dalam memandu sangat baik dan gembira kerana kini boleh menjalankan tugasnya sendiri tanpa bergantung pada pemandu.

“Saya berjaya menjimatkan banyak wang dalam upah pemandu. Saya berjaya menjimatkan sejumlah besar yang saya gunakan untuk membayar teksi persendirian. Saya tidak lagi perlu mengambil pemandu asing dan membayar sejumlah besar wang dan kemudian membayar gaji bulanan dan perumahannya,” katanya.

“Masyarakat menerima wanita yang memandu tetapi ada beberapa orang yang masih tidak menerima idea itu. Saya menghadapi situasi seperti ini di mana saya dilecehkan di jalan raya. Tetapi orang sebegini tidak akan bertahan di hadapan undang-undang yang sangat sukar yang dilaksanakan untuk melindungi wanita,” kata Iman.

Beliau mengakui masih ada sebilangan kecil yang tidak dapat menerima wanita memandu dan pernah dikecam semasa di jalan raya.

Nouf Al-Muhammadi pula berkata, dia tidak pernah menghadapi sebarang kesulitan selepas mula memandu.

“Dulu saya selalu terdesak untuk mendapatkan pemandu. Kami tinggal di sebuah kampung berhampiran Khulais yang kekurangan kemudahan dan saya memerlukan sebuah kereta supaya saya dapat menjalankan tugas saya terutama pada waktu pagi apabila kaum lelaki keluar bekerja atau ketika mereka tidak ada.

“Sekarang saya boleh memandu, saya boleh melakukan semuanya sendiri,” katanya.

Seorang pelajar universiti, Maha Abu Shaheen memberitahu, pada mulanya dia takut menghadapi gangguan di jalanan tetapi apabila mendapat sokongan apabila melihat wanita lain yang memandu, beliau meneruskannya.

“Terdapat ramai ibu yang memandu menghantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari pada waktu pagi dan ia satu dorongan kepada saya,” kata Shaheen. – MalaysiaGazette