Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTN) Kelantan berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pelantikan itu dibuat selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, MTN negeri itu akan bermesyuarat setiap suku tahun.

Katanya, di bawah Arahan 1 2018, ICU JPM, MTN telah diwujudkan di setiap negeri sebagai badan utama peringkat negeri yang bertanggungjawab memastikan keputusan majlis MTN peringkat Persekutuan dilaksanakan.

“Untuk Kelantan, PM bersetuju melantik Azmin Ali sebagai Pengerusi MTN Kelantan.

“MTN bertindak sebagai platform penyelarasan utama bagi keputusan dasar berkaitan penyelarasan perancangan, pemantauan dan pengesanan pelaksanaan dasar dan program pembangunan serta inisiatif semasa kerajaan Persekutuan di peringkat negeri,” kata kenyataan yang sama.

Kerajaan Persekutuan mengharapkan kerjasama kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pas bagi memastikan segala segala projek pembangunan yang dirancang dapat berjalan lancar.

“Kerjasama ini penting dalam memastikan usaha keras Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan fizikal dan insaniah ke seluruh jajahan Kelantan berimpak secara optimum kepada negeri dan rakyatnya.

“Komitmen kerajaan Persekutuan untuk melonjakkan pembangunan Kelantan adalah jelas apabila Kelantan diletakkan sebagai salah sebuah negeri yang diberi keutamaan dalam pengagihan peruntukan pembangunan.

“Langkah ini adalah sepertimana yang dinyatakan dalam Tonggak Ke-III Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2018-2020),” jelas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette