Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia hari ini menafikan sekeras-kerasnya berlakunya kelewatan dalam proses pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebagaimana didakwa semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, sebarang permohonan untuk memperbaharui permit berkenaan harus dikemukakan tiga bulan sebelum PLKS tamat tempoh.

“Permohonan lanjut boleh dibuat oleh majikan yang sah tanpa melalui pihak ketiga dan setiap permohonan yang dibuat secara atas talian akan diberikan Akuan Penerimaan setelah permohonan berjaya dihantar (real-time).

“Kesulitan dalam memperbaharui PLKS, majikan dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan tiga bulan sebelum PLKS tamat tempoh,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan Free Malaysia Today bertajuk ‘Pekerja asing dalam ketakutan kerana sukar baharui permit’ yang diterbitkan semalam.

Dalam laporan itu, terdapat keluhan daripada beberapa pekerja asing di negara ini yang menghadapi kesukaran untuk memperbaharui permit kerja mereka.

Dalam pada itu, Indera berkata permohonan yang berjaya akan di proses selewat-lewatnya dalam tempoh tujuh hingga 14 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima sepenuhnya.

“Sehingga 31 Disember 2018 terdapat 2,015,760 PLKS yang aktif,” kata kenyataan yang sama.

Daripada jumlah itu, sebanyak 705,016 permohonan daripada sektor pembuatan, 435,002 (pembinaan); 306,417 (perkhidmatan);282,494 (ladang); 159,662 (pertanian) dan 127,169 (pembantu rumah). -MalaysiaGazette