Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) milik Mawar Medical Center (MMC) berkemungkinan akan memberhentikan operasinya di seluruh negara ekoran ketiadaan lesen dan masalah kekurangan dana yang serius dihadapinya, kata Pengerusi MMC Datin Chua Lay Ping.
Mawar Medical Center (MMC) b

SEREMBAN – Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) milik Mawar Medical Center (MMC) berkemungkinan akan memberhentikan operasinya di seluruh negara ekoran ketiadaan lesen dan masalah kekurangan dana yang serius dihadapinya, kata Pengerusi MMC Datin Chua Lay Ping.

Justeru itu, beliau berkata MMC akan menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil kerajaan.

“Kita harap kerajaan dapat menerima 798 orang pesakit dialisis di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan membantu mereka untuk meneruskan rawatan rapi. Kita harap kerajaan dapat ambil langkah segera bagi membantu pesakit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata ketiadaan lesen tersebut juga telah menyebabkan lebih 500 kakitangan MMC dan PHM terpaksa diberhentikan.

“Buat masa sekarang MMC hanya mampu membayar gaji pekerja sehingga bulan ini sahaja dan sekiranya masih tidak dapat lesen dari pihak KKM, MMC tiada pilihan lain dengan melakukan langkah terakhir melakukan ‘winding up’ (penggulungan) untuk membayar hutang yang sedia dengan penjualan semua aset,” katanya.

PHM yang ditubuhkan pada 1997 mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Sementara itu, Veerapan yang melakukan pemeriksaan mengejut ke PHM berkata meskipun kerajaan negeri mengetahui lesen pusat perubatan itu dibatalkan, namun atas budi bicara Ketua Pengarah KKM, operasi pusat dialisis masih boleh diteruskan.

“Sebab pesakit itu ramai dan di sini sahaja saya dimaklumkan seramai iaitu 277 orang dan kalau nak pindahkan pesakit ini ke tempat lain ia memang sukar buat masa ini. Jadi mereka (PHM) diberi kebenaran untuk melaksanakan hemodialisis dekat sini.

“Mereka (PHM) mendapat pendapatan RM1.8 juta setahun untuk mengendalikan pesakit hemodialisis… pendapatan itu datang daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Perkhidmatan Awam dan lain-lain. Jadi saya tak nampak apa masalah mereka untuk membayar (gaji pekerja) dan memberi perubatan kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata isu yang melanda PHM akan dibawa ke dalam mesyuarat Exco selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada 15 Jan lepas, KKM membatalkan lesen hospital MMC selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata MMC perlu mengembalikan lesen hospital dan memberhentikan operasi hospital serta-merta.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast