Azmizam Zaman Huri
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri meninjau keadaan pencawang elektrik pada tinjauan bersama pegawai Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Kerja Raya mengenai vandalisme dan kecurian di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2019

PELABUHAN KLANG – Kerajaan Negeri Selangor terpaksa membelanjakan hampir RM5 juta bagi membaik pulih pencawang elektrik yang menjadi mangsa vendalisme oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, kerajaan negeri perlu membelanjakan sehingga RM15,000 bagi setiap unit pencawang elektrik yang dirosak dan dicuri wayarnya.

“Kawasan Pelabuhan Klang ini besar dan keseluruhan kawasan yang terlibat dan terjejas akibat vendalisme ialah RM4.7 juta kos baik pulih dan mengganti semua wayar yang hilang.

“Sebab itu kos baik pulih lebih tinggi daripada kos bina pencawang elektrik baharu, kalau baik pulih kena korek balik, kena pasang balik, kenal pasti dan buka balik.

“Ada kawasan-kawasan pihak JKR selalu baiki selepas mendapat aduan daripada orang awam apabila lampu jalan tidak menyala.

“Paling saya kesal apabila baiki tak sampai seminggu ia dirosak dan dicuri apabila diperiksa tengok tempat sama kehilangan kabel dan wayar ini berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

MGF01022019_Tinjauan Vandalisme DUN Pelabuhan Klang_05
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menunjukkan keadaan ibu kunci pencawang elektrik yang dipotong pada tinjauan bersama pegawai Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Kerja Raya mengenai vandalisme dan kecurian di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2019

Terdahulu Azmizam bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Balai Polis Daerah Klang Selatan membuat tinjauan kesan vendalisme di beberapa pencawang elektrik jalan raya dan lampu isyarat di sekitar Laguna Park, Jalan Kem dan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah serta Telok Gong, di sini.

Azmizam juga berkata, aktiviti vendalisme yang dikesan sejak beberapa tahun itu telah mengakibatkan keseluruhan kawasan di sini kegelapan apabila waktu malam dan ia membahayakan keselamatan orang awam.

“Kawasan Pelabuhan Klang yang terjejas teruk ialah Laguna Park, Telok Gong, Pulau Indah, Jalan Kem dan kawasan-kawasan berhampiran.

“Ini menyebabkan jalan di waktu malam gelap. Setiap kerosakan atau vendalisme yang dilakukan melibatkan kos jutaan ringgit untuk membaik pulih atau memastikan ianya berfungsi semula,” katanya.

Azmizam Zaman Huri
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri meninjau keadaan pencawang elektrik yang telah siap dipasang dengan jaring keselamatan bagi mengelakkan kes kecurian pada tinjauan bersama pegawai Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Kerja Raya mengenai vandalisme dan kecurian di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2019

Ditanya tentang pemantauan bagi mengelakkan vendalisme berulang, Azmizam bagaimanapun berkata beliau tidak menolak untuk mencadangkan agar pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan di lokasi kritikal.

“Kita akan cadangkan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan supaya di setiap kawasan pencawang elektrik atau kawasan kritikal yang tidak dilalui oleh orang awam mungkin dipasang CCTV bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini hanya di sesetengah kawasan sahaja mempunyai CCTV iaitu di bandar Klang, tapi di kawasan Pelabuhan Klang tiada lagi,” katanya.

Amzar Zubir
Jurutera Elektrik JKR, Amzar Zubir bercakap kepada media selepas membuat tinjauan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan Pegawai Majlis Perbandaran Klang mengenai vandalisme dan kecurian di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2019

Sementara itu, Jurutera Elektrik JKR Selangor, Amzar Zubir berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk membendung masalah vendalisme itu dengan memasang sangkar besi di semua pencawang elektrik di sini.

“JKR akan letakkan sangkar besi di semua pencawang elektrik di Pelabuhan Klang di mana satu sangkar besi melibatkan penuntukan hampir RM2,000.

“Tahun lepas kita telah kenal pasti beberapa tempat untuk diletakkan sangkar yang selalu dicuri dan dirosakkan, letak sebulan terus hilang.

“Sekarang ini kalau bina pencawang elektrik kita akan pasang sekali sangkar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette