Abdul Rani Kulup Abdullah
Abdul Rani Kulup Abdullah. foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Abdul Rani Kulup Abdullah mencadangkan supaya pemilik akaun seorang pemilik Facebook dikenakan hukuman berat kerana menghina Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu mahu Desmond Yongkor dikenakan hukuman penjara 10 tahun, denda RM50,000 dan 10 sebatan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat dan pengguna media sosial supaya tidak melakukan perbuatan Desmond.

Katanya, Desmond telah mencetuskan kemarahan rakyat dan umat Islam di negara ini selain mencemarkan kemuliaan institusi Raja yang merupakan tunjang negara.

“Kenapa nak hina Agong. Kamu (Desmond) takde kerja ke, institusi raja2 sahih di sisi perlembagaan negara ini, apakah motif dan tujuan kamu hina Agong kita.

“Lagipun ini satu perbuatan hasutan yang boleh cemarkan institusi raja dan Agong yang merupakan payung kita, bersikap biadab dan kurang ajar.

“Saya gesa PDRM dan SKMM siasat kesahihan facebook Desmond hingga ke akar umbi, ambil tindakan sekeras-kerasnya supaya menjadi pengarajan pada pengguna dan penggemar facebook,” katanya kepada MalaysiaGazette di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam tadi.

Beliau yang diberi jolokan Raja Report Malaysia terkenal dengan moto ‘kipidap’ tampil membuat laporan polis ke atas Desmond sebagai tindakan menggesa pihak berkuasa bertindak tanpa berkompromi terhadap individu itu.

Sebelum ini, polis Pahang telah menahan seorang peniaga berusia 45 tahun yang menggunakan nama Michael Cheah memuat naik kenyataan yang menghina Sultan Al-Abdullah di laman Facebook, namun dia memadamkan kenyataannya itu.

Menurut Abdul Rani, setakat ini hampir 1,000 laporan polis mengenai perbuatan Desmond telah dibuat di seluruh negara termasuk Menteri Besar Pahang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang.

Tambah beliau, hukumen berat kepada mereka yang menghina raja perlu dilaksanakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Menurutnya, pesalah akan hilang ketakutan dan mencabar pihak berkuasa sekiranya tiada dihukum berat dikenakan.

Tegas beliau, mengikut peraturan dan undang-undang yang termaktub, jika seseorang yang diberi kewarganegaraan menghina raja, mereka hendaklah dilucutkan kewarganegaraan dan jika individu itu beragama Islam Melayu Bumiputera, maka perlu dibuang negeri.

“Kalau tidak mereka tidak akan takut dengan memberi alasan akaun palsu sambil memohon maaf untuk melepaskan diri dari hukuman dan mengulangi perbuatan sama.

“Umpama pepatah kerana mulut badan binasa, pada alaf baharu ini, kerana jari badan binasa, maka jangan sesuka hati menaip sebarang kata kata fitnah dalam Facebook, anda akan menyesal kemudian nanti,” kata beliau.

Turut sama membuat laporan polis ialah Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia, Mohd Fazil Abdullah.

“Saya jelas nampak orang seperti dia (Desmond) berbuat demikian bukan selain publisiti selain menjadi tabiat jijik menghina Ketua Negara seolah mencabar pihak berkuasa.

“Ini perlu dihentikan supaya orang lain tidak berani mengulangi perbuatan itu di masa akan datang dan dalam hal ini kerajaan pusat perlu menyatakan pendirian tegas mereka dalam memerangi insiden seperti ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette