Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu. foto AFIQ RAZALI, 28 MEI 2018.

IPOH – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini menyangkal spekulasi yang disebarkan di media sosial mendakwa menteri besar itu mempunyai masalah dengan pemimpin DAP di negeri ini.

Beliau berkata, kepimpinan DAP seringkali menyambut baik kehadirannya di setiap program atau majlis rasmi yang dianjurkan oleh parti berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, beliau bersama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Paul Yong Choo Kiong bersama-sama kepimpinan DAP menghadiri pelbagai program yang diadakan di daerah Manjung selama dua hari berturut-turut sejak Jumaat lepas.

“Saya rasa ini sekadar khabar angin yang sekali lagi cuba dibangkitkan pihak tertentu, mereka boleh cakap apa sahaja tetapi yang pentingnya kerajaan Pakatan Harapan dan hubungan saya dengan rakan-rakan lain dalam parti (komponen) cukup baik dan tiada masalah.

“Saya tidak menipu…bukan bercakap dari segi politik atau pun semata-mata hendak menyejukkan keadaan, inilah keadaan yang sebenar kerana kalau ada masalah saya akan berterus terang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan limau mandarin kepada penduduk setempat sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar pekan Chemor di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas dakwaan seorang pengguna laman sosial baru-baru ini yang memuatnaik status berbentuk pertanyaan menerusi akaun Instagramnya yang berbunyi ‘kabo (khabar) angin mengatakan MB Peja kalau program dianjurkan oleh DAP tak boleh pergi atau tidak dijemput kononnya tak nak Cina sokong Peja…betul ker?’. – Bernama