Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan pihaknya serta Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) tidak mempunyai kuasa menentukan, menetapkan atau mengawal kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Syarikat pengurusan lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata, kadar PSC di negara ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebuah pengawal selia ekonomi bebas untuk industri penerbangan awam di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

“Menjadi amalan biasa dalam industri penerbangan untuk PSC dikumpul oleh syarikat penerbangan dari penumpang yang berlepas selepas membeli tiket penerbangan mereka dan selepas itu, PSC dibayar kepada pengendali lapangan terbang setelah selesai penerbangan,” kata pengendali lapangan terbang itu.

Tambah MAHB, sebenarnya terdapat beberapa lapangan terbang di dunia seperti Sydney dan Melbourne, Australia yang mengenakan caj terhadap penumpang yang berlepas dan penumpang yang tiba.

Pengendali lapangan terbang itu selanjutnya berkata, pada bulan November 2017, MAVCOM telah mengumumkan langkah terakhir untuk penyetaraan penuh PSC di semua lapangan terbang di Malaysia yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2018.

Langkah terakhir ini adalah untuk menyamakan PSC untuk penerbangan antarabangsa bukan ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah sama dengan yang di KLIA dan lapangan terbang lain di Malaysia iaitu dari RM50 hingga RM73.

Rasional penyamaan yang dinyatakan oleh MAVCOM adalah keperluan untuk bergerak ke arah mekanisme berasaskan kos yang lebih diterima di peringkat antarabangsa untuk mengenakan PSC, yang konsisten dengan prinsip yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), keperluan untuk menurunkan subsidi di klia2 dan keperluan kemudahan untuk kebajikan pengembara udara, tambah MAHB.

Menurut kenyataan itu lagi, apabila dibandingkan model Malaysia dengan lapangan terbang lain di rantau ini dapat dilihat bahawa lapangan-lapangan terbang itu mengenakan kadar PSC yang sama untuk semua terminalnya tanpa mengira syarikat penerbangan yang beroperasi.

“Sebagai contoh, kedua-dua Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (Bangkok) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (Bangkok) mengecaj kadar yang sama walaupun perbezaan jelas antara perkhidmatan penuh dan operasi kos rendah masing-masing di dua lapangan terbang.

PSC yang disamakan untuk lapangan terbang Don Mueang dan Suvarnabhumi adalah BHT 700 atau RM 80, untuk semua penumpang antarabangsa (ASEAN dan bukan-ASEAN), “kata MAHB.

Kenyataan itu berkata, pada masa ini semua syarikat penerbangan lain yang beroperasi di klia2 seperti syarikat penerbangan kos rendah India IndiGo mengumpul dan membayar kadar PSC sebanyak RM73 untuk penumpang antarabangsa bukan ASEAN.

MAHB berkata, keadaan Penggunaan (COU) 2017 adalah terpakai kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal di Kuala Lumpur (termasuk AirAsia) dan kontrak menyatakan bahawa kadar PSC yang perlu dibayar adalah tertakluk kepada peraturan MAVCOM yang disemak semula.

Disember lalu, MASSB menghantar dua writ saman berjumlah RM26.71 juta dan RM9.39 juta kepada AirAsia X Bhd. (AAX) dan AirAsia Bhd. (AAB) kerana kegagalan dua syarikat milik AirAsia Group Bhd. itu mengutip PSC seperti sepatutnya.

AirAsia, pada Khamis menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada MASSB atas kerugian yang ditanggung syarikat itu ketika beroperasi di KLIA2.

AirAsia mengaitkan kerugian RM479,781,285 dengan kehilangan penumpang sejak empat tahun lepas ekoran gangguan serta keadaan yang tidak memuaskan di klia2.

Sehubungan itu MAHB yakin bahawa perkara dapat ditangani dan dari segi kontrak kini ditentukan oleh mahkamah

“Ia adalah demi kepentingan para pemegang saham MAHB untuk mendapatkan semula dengan cara yang bermakna kehilangan purata kira-kira RM7 juta sebulan kerana AirAsia mengecaj jumlah yang lebih rendah daripada kadar yang diwartakan.

Ketidaksamaan pendekatan terhadap tindakan PSC dan AirAsia mengganggu persaingan dengan memberi kesan ke atas keupayaan kami untuk menarik syarikat penerbangan baru ke negara ini dan menjejaskan usaha menjadikan Malaysia sebuah hub penerbangan yang utama, “kata MAHB. – MalaysiaGazette