Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 1.52 tengah hari, sepasukan tujuh anggota bomba termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Slim River tiba dan bertindak kurang daripada lima minit mengumpil pengunci kereta menggunakan peralatan khas.

TANJUNG MALIM – Sepasang suami isteri cemas apabila bayi perempuan berusia tiga bulan yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta Toyota Vios terperangkap, selepas pintunya terkunci secara tiba-tiba di perkarangan Pejabat Pos Slim River di sini Isnin.

Difahamkan dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, pintu kereta itu terkunci secara tiba-tiba sebaik sahaja ibu bapa dan abang bayi itu yang berusia dua tahun keluar daripada kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 1.52 tengah hari, sepasukan tujuh anggota bomba termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Slim River tiba dan bertindak kurang daripada lima minit mengumpil pengunci kereta menggunakan peralatan khas.

“Sebaik tiba, bayi terbabit dalam keadaan sedar dan ibu bapanya bersama orang ramai mencuba untuk membuka kereta itu tapi tidak berjaya. Keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam ke Teluk Intan dan singgah di pejabat pos tersebut untuk menyelesaikan beberapa urusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota polis yang berada di Pondok Polis berhampiran pejabat pos berkenaan pada pukul 1.52 tengah hari.

— BERNAMA