Nasrudin Hasan
Nasrudin Hasan

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap tenang walaupun pelbagai kata nista, cacian dan tuduhan dilemparkan kepadanya.

Sikap tenang itu menimbulkan kehairanan dan persoalan dalam kalangan pemimpin Pas, terutama Ketua Penerangannya, Nasrudin Hasan yang ingin mengetahui apa digunakan pemimpin tertinggi parti itu.

Katanya, untuk mendapatkan jawapan bagi merungkaikan persoalan itu, beliau bertanyakan kepada Abdul Hadi.

“Ketika ditanya kepadanya, mengapa masih tenang walaupun di luar sana ramai yang berkata buruk tentangnya?

“Dengan tenang Tuan Guru menjawab, sesungguhnya kita akan mati, mereka juga akan mati, amalan kita adalah milik kita dan amalan mereka milik mereka, kita akan dihisab satu hari nanti dan mereka juga akan dihisab satu hari nanti, jadi apa ‘mengenanya’ untuk kita bimbang dengan apa yang mereka katakan,” jawab Abdul Hadi.

Nasrudin mengkisahkan mengenai sikap Ahli Parlimen Marang itu dalam akaun Facebooknya, semalam.

“Allahu robbi..semoga Tok Guru senantiasa dalam jagaan Allah. Insya-Allah, kami di belakang Tok Guru,” katanya. – MalaysiaGazette