Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan digesa menjelaskan pendirian sebenar kerajaan di era Malaysia Baharu ini terhadap pelaksanaan program dwibahasa yang telah dimulakan sejak 2016.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, sejak dimulakan sebagai program rintis dan bersifat pilihan, kini pelaksanaannya dilihat semakin meluas dan seperti diwajibkan secara berperingkat.

“Sedangkan, program itu adalah jelmaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pemansuhannya kerana menyebabkan pencapaian pelajar dalam dua mata pelajaran itu merosot dengan ketara 2007.

“Program ini sejak diperkenalkan telah dibantah bukan sahaja oleh tokoh akademik, malah ahli politik pembangkang pada masa itu, yang kini sudah menganggotai kerajaan.

“Malang sekali jika program ini kembali mendapat tempat dan semakin dikukuhkan kedudukannya oleh kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau turut merasa curiga dengan kajian impak pelaksanaan program dwibahasa yang dijanjikan pada November lalu untuk dibentangkan pada Januari tahun ini.

Jelas Dr. Mohd Khairuddin, tidak mustahil jika laporan itu memihak supaya program dwibahasa bukan sahaja diteruskan, tetapi dijadikan dasar utama dalam sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette