Ambiga Sreenevasan

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan terkejut dengan berita mengenai Orang Asli diugut selepas membuat sekatan halang pembalakan.

Ambiga yang juga aktivis dan bekas Pengerusi Bersih 2.0 kesalĀ terhadap penindasan yang berlaku ke atas Orang Asli.

“Apa yang sedang berlaku di Malaysia Baharu.

“Ini sangat mengejutkan (Orang Asli Perak diugut)..Siapa memberi lesen pembalakan tanpa berunding dengan Orang Asli?” soal beliau menerusi Twitter.

Beliau mengulas laporan yang didedahkan sebuah portal semalam.

Dalam pendedahan FMT itu, penduduk Orang Asli di Gerik, Perak mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) menceroboh kawasan tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Berang dengan tindakan itu, Orang Asli Kampung Tasik Cunex mengadakan sekatan bagi menghalang aktiviti tersebut apabila mendakwa kawasan tanah adat dan penempatan mereka diceroboh, termasuk kehilangan sumber hutan.

Kumpulan masyarakat itu membuat sekatan dengan menutup laluan utama lori balak.

Mereka juga membuat aduan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar pada 10 Januari, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Malah, penduduk mendakwa turut diugut pihak syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak susulan sekatan yang dibuat mereka.

Komen beliau tidak terhenti setakat itu apabila menyusul jawapan Exco Perak yang berkenaan kononnya tidak tahu bagaimana pembalakan di Gerik diluluskan.

Laporan itu dikongsikan kepada Ambiga oleh Lawyer for Liberty (LFL).

Ambiga membalas dan LFL meminta supaya meneliti perkara itu dan memaklumkan kepadanya semula. – MalaysiaGazette