Elly Pamatong yang mendakwa pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East membakar bendera Malaysia 

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Filipina mengambil tindakan tegas ke atas warganya, Elly Pamatong, kerana membakar Jalur Gemilang baru-baru ini.

Kementerian Luar berkata, tindakan tegas terhadap individu yang mendakwa beliau pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE) itu penting bagi memastikan insiden sama yang boleh merosakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tidak berulang.

“Malaysia mengutuk perbuatan seumpama itu dan berpendapat membakar bendera Malaysia adalah insiden yang serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan video yang memaparkan bendera Malaysia dibakar di Filipina pada 19 dan 21 Januari lalu yang disiarkan menerusi laman Facebok milik President Pamatong Supporters.

Dalam Video itu Elly turut mengeluarkan kenyataan anti Malaysia.

Menurut kenyataan itu, bendera merupakan simbol kebangsaan dan ia perlu dihormati.

Katanya, tindakan Elly membakar bendera dan mengeluarkan kenyataan anti-Malaysia telah menyinggung perasaan manakala tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas. – MalaysiaGazette