KUALA LUMPUR – University International Cambridge adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang tidak diiktiraf kewujudannya oleh sektor pendidikan dunia.
Justeru, mungkin kerana malu dengan ijazah dimiliki dari universiti itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya mengubahnya kepada University of Cambridge di United Kingdom (UK).
Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohamad Hamidi Baharuddin berhubung isu pemalsuan sijil pengajian oleh Setiausaha Parti Pribumi Bersatua Malaysia (PPBM) itu.
Katanya, beliau hairan kenapa timbalan menteri itu tidak berterus terang kelulusan akademik yang diperolehinya sehingga sanggup mengubah maklumat pendidikannya kepada University of Cambridge.
“Adakah timbalan menteri itu malu dengan kelayakan sekarang, kerana saya difahamkan Universiti International Cambridge adalah sebuah universiti yang tidak diiktiraf kewujudannya oleh sektor pendidikan dunia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Mohamad Hamidi menegaskan, seiring dengan moto Malaysia Baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH), Marzuki perlu meletakkan jawatan dengan segera dan berhenti mempermainkan kebijaksaan rakyat Malaysia.
“Kami tidak bodoh dan kami tidak rela diperbodohkan,” katanya.
Beliau turut menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa Marzuki perlu segera meletak jawatan kerana kredibilitinya sebagai pemimpin negara telah hancur kerana terpalit dengan dakwaan dan pembongkaran berkenaan status pendidikan universitinya.
Katanya, sebagai Timbalan Menteri Luar (Wisma Putra) yang berada di barisan hadapan ketika pertemuan bersama pemimpin luar sudah tentu faktor pendidikan menjadi carian utama.
Bagaimanapun, ujar beliau, ia menjadi lebih memalukan apabila yang termaktub dalam carian terhadap pendidikannya iaitu Universiti International Cambridge bukan sebuah universiti termasyhur di dunia.
“Setelah lebih lapan bulan PH memerintah dan beliau telah lama menjadi seorang timbalan menteri di sebuah organisasi yang besar seperti Wisma Putra, kenapa setelah pembongkaran dilakukan beliau bertindak menceritakan perkara sebenar?
“Adakah sebelum ini ketika pertemuannya bersama kedutaan dan delegasi dari luar negara, beliau menipu dengan menyatakannya belajar di Universiti of Cambridge, England?” soalnya. – MalaysiaGazette
















