Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tiba di pejabat SPRM pagi tadi. foto BERNAMA

KOTA BHARU – Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan menerima dana sebanyak RM90 juta daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nik Mohamad Abduh, yang juga anggota Parlimen Bachok, tiba di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di Jalan Lundang di sini, kira-kira pukul 10.20 pagi, seorang diri tanpa ditemani peguam.

Beliau kemudiannya diiringi dua pegawai SPRM ketika masuk ke dalam bangunan SPRM Kelantan untuk proses mengambil keterangan.

Portal berita semalam melaporkan tiga ahli politik dijangka hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli politik itu dari pelbagai parti politik termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dua daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya manakala seorang lagi di Pejabat SPRM Kelantan.

Kesemua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri di pantai timur. – MalaysiaGazette