TERKINI : NAJIB KENA DAKWA SEMULA! 3 Pertuduhan Pengubahan Wang Haram RM47 juta

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan sama ekoran melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.

Najib, 66, yang bersut biru, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tambahan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Sebutan itu ditetapkan untuk sebutan kes Najib yang sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Bagi tiga pertuduhan tambahan itu, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.