Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Penyelesaian di luar mahkamah antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dibuat selepas mendapat persetujuan kedua pihak.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, keputusan itu dibuat selepas mendapat penjelasan lanjut dan terperinci serta meneliti kronologi perjalanan kes itu.

Katanya, Pas menghormati dan menyambut baik serta menyokong penuh langkah penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu Abdul Hadi sebagai plaintif dan Clare Rewcastle sebagai defendan pada 1 Februari lalu.

“Persetujuan melibatkan kedua pihak plaintif dan defendan itu adalah di mana plaintif bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutannya (claim) terhadap defendan.

“Defendan pula bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutan balasnya (counterclaim) terhadap plaintif, di samping itu tidak ada perintah mengenai kos (no order as to costs),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Takiyuddin, Pas percaya dan yakin langkah yang diambil oleh Abdul Hadi dalam hal itu adalah setelah mengambil kira kepentingan Pas serta ahli parti secara keseluruhannya dari semua aspek.

“Pas juga percaya persetujuan penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan ini sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan (admission) terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini, mahupun tohmahan (accusations) lain yang berkaitan yang dibangkitkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Justeru, kata beliau, Pas menyeru kepada ahli supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala dan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan serta sentiasa berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak dalam ‘perangkap musuh’ yang sentiasa menanti.

Katanya, Pas menyerahkan kepada Allah atas segala perkara dengan keyakinan bahawa Dia akan membantu serta memberi petunjuk kepada hamba-Nya yang beriman, bersabar dan dizalimi, di samping membantu mereka yang berjuang di jalan lurus. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Hadi setuju selesai saman Sarawak Report luar mahkamah