Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kes Pas saman Sarawak Report mencapai penyelesaian luar mahkamah, kata Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman.

Melalui kenyataan ringkas kepada media hari ini, beliau menyatakan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah melalui Perintah Persetujuan bertarikh semalam di Mahkamah Tinggi London.

“Pas telah meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan terhadap Clare Rewcastle Brown (defendan) dari semua aspek.

“Setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam, adalah dimaklumkan Abdul Hadi telah membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah.

“Tindakan ini dibuat melalui Perintah Persetujuan (Consent Order) bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division) dengan beberapa ketetapan,” katanya.

Beliau berkata, ketetapan itu ialah Abdul Hadi menarik balik tuntutan (claim) terhadap defendan dan Clare Rewcastle Brown pula menarik balik Tuntutan Balas (counter claim) terhadap Presiden Pas.

Katanya, penyelesaian itu dubuat tanpa ada perintah berkenaan kos dan kedua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

“Seterusnya Abdul Hadi mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan kepada barisan peguam, ahli Pas dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan sepanjang perjalanan kes ini,” katanya.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017 susulan laporan pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dipercayai dimasukkan ke akaun pimpinan tertinggi Pas bagi mempengaruhi mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan beliau memberi RM90 juta kepada Pas dan menyifatkan tuduhan itu mengarut.

Pas kemudian melancarkan tabung pada 26 Jun 2017 meminta sumbangan untuk membayar yuran guaman kes itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jadi? Hadi! Hadi.

    Yo. Your feet hot cold.

    Are you trying to say, there are some truths in Brown’s allegations?

    When BN was in power , some from Malaysia Embassy were presence in court to support.

Comments are closed.