Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluangkan masa dengan meninjau kawasan padang awam yang terbiar selepas Program Fun Ride di Balai Raya Kampung Batu Rembau, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan membiarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan mengenai isu sijil akademik Timbalan Menteri Luar, Dr Marzuki Yahya yang dipertikaikan beberapa pihak.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya Perdana Menteri adalah satu-satunya pemimpin yang mempunyai prerogatif untuk mengambil tindakan muktamad dalam perkara tersebut.

“Dalam isu itu presiden parti PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi komen beliau.

“Apa yang penting ialah kita membiarkan keputusannya kepada Tun Mahathir yang berprerogatif sebagai PM,” katanya dalam sidang media selepas acara berbasikal, Fun Ride, bersama lebih 80 peserta dari kampung ke kampung sekitar Rinching dan Beranang, Semenyih pagi tadi.

Kelayakan akademik Marzuki mula menjadi sorotan umum selepas suatu laporan polis dibuat terhadap dakwaan beliau telah berbohong berhubung mendapatkan ijazah dari University of Cambridge di United Kingdom.

berikutan itu, beliau menjelaskan bahawa ijazah pentadbiran perniagaannya diperolehi daripada Cambridge International University yang dikatakan berpengkalan di Amerika Syarikat.

Syed Saddiq berkata, secara peribadi beliau menentang sekiranya Marzuki menggunakan sijil palsu.

“Saya percaya penjelasan Marzuki sendiri sudah diberikan…maka kita ada cerita dua pihak dengan versi berbeza .

“Lebih baik PM menentukannya, saya secara peribadi dan berprinsip menentang penggunaan ijazah palsu, diploma, master dan sebagainya berlandaskan prinsip moral,” katanya. – MalaysiaGazette