TAIPING – Sikap berterus terang dan tidak berbohong kepada rakyat merupakan integriti yang perlu ada dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Integriti amat penting bagi pemimpin kerajaan PH dalam melaksanakan kerja dengan ikhlas, kata beliau ketika diminta mengulas mengenai isu integriti di kalangan pemimpin PH yang terpalit dengan sijil akademik yang dikatakan tidak diiktiraf.
“Saya sendiri pernah dedahkan yang saya melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi tidak berjaya membawa pulang ijazah. Saya tidak pernah berbohong tentang sejarah.
“Ke mana saya pernah melanjutkan pelajaran dan tidak membawa pulang ijazah dimainkan di media sosial suatu ketika dahulu.
“Apa yang lebih penting kita buat kerja dengan ikhlas dan soal integriti amat penting dan tidak berbohong kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar di Kampung Dew di sini hari ini.
Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; serta Anggota Dewan Undangan Negeri Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.
Malah, terdapat beberapa pemimpin PH lain dikaitkan dengan isu sama termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.
Ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Mac depan beliau berkata PRK Semenyih pada kali ini amat sengit.
“Amat merugikan jika pengundi Semenyih memilih calon selain calon dari PH, walaupun begitu kita akan bekerja keras untuk mempertahankan kawasan itu,” katanya.
— BERNAMA