SEMENYIH – IPF akan memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kembali menjadi milik Barisan Nasional (BN), kata Presidennya Datuk M. Sambanthan hari ini.
Ini kerana kebanyakan pengundi India yang pernah mengundi Pakatan Harapan sembilan bulan lalu menyatakan kekesalan mereka.
“Kebanyakan pengundi di Semenyih khususnya masyarakat India telah menikmati kebajikan yang sangat istimewa dalam aspek sosio ekonomi d ibawah kepimpinan Najib Tun Razak serta bekas ADUN Datuk Johan Abdul Aziz.
“Pengundi-pengundi telah menyatakan kekesalan membuat kesilapan mengundi Pakatan Harapan dan berjanji mahu membetulkannya dengan berjanji untuk mengundi BN di Semenyih.
“IPF akan memastikan kerusi itu akan dirampas dan menjadi milik BN semula kali ini, ” katanya dalam ucaptama Perayaan Ponggal bersama Masyarakat India Semenyih di Hulu Langat, Taman Bangi Jaya di sini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, masyarakat India di DUN itu kesal kerana kehilangan pemimpin berjiwa rakyat dari BN yang ditewaskan.
Lebih menyedihkan apabila Pakatan Harapan pula mengabaikan kebajikan pengundi.
Tambah beliau, sebagai persiapan PRK kali ini, sebanyak 984 ahli IPF telah menjalani pemutihan sebagai pengundi berdaftar di DUN Semenyih.
“Kalau PRU lepas hanya 40 peratus pengundi India di sini memihak undi kepada BN. Tetapi kali ini 70 peratus diyakini akan memihak kepada BN kerana kempen akan tertumpu kepada mereka sahaja. Ini merupakan kelebihan untuk BN.
“PH pada PRU lepas melemparkan pelbagai janji manis tanpa ditunaikan untuk masyarakat India.
“Lantaran itu, kali ini IPF akan memastikan pengundi kembali semula kepada BN,” tegasnya.
Ditambah pula terdapat 1,500 pengundi muda baharu yang kecewa dengan janji pemansuhan PTPTN.
“Kita di platform terbaik untuk meraih sokongan mereka dan usaha ke arah itu telah digerakkan oleh IPF dengan segala input bermanfaat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette