Thomas Su

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak mesti menjelaskan mengapa ia menganugerahkan konsesi tanah seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat baharu dengan modal berbayar sebanyak RM2.

Syarikat swasta itu telah mendapat anugerah konsesi bagi dua rizab tanah hutan di Kledang Saiong dan Bukit Kinta.

Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su mendakwa syarikat berkenaan mendapat konsesi itu selepas lima bulan ditubuhkan.

Syarikat berkenaan diwujudkan pada 26 Julai sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan diberikan tanah seluas 400 hektar bagi pembangunan ladang hutan pada 14 Disember lalu di Hutan Rizab Kledang Saing dan Bukit Kinta.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Laporan itu dibuat selepas surat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Perak diviralkan di laman sosial.

“Perbuatan ini adalah salah, seperti yang Menteri Besar berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan menggantung semua aktiviti pembalakan.

“Tetapi, ini yang berlaku sekarang,” katanya yang turut mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat berusia lima bulan dengan tanpa rekod profail berjaya mendapat tanah hutan seluas 400 hektar.

“Kami mahu tahu mengapa syarikat ini dipilih dan kenapa bukan syarikat lain” tegasnya.

Perak akan kehilangan tanah rizab hutan jika status gazet tanah-tanah hutan dilepaskan secara berterusan.

Beliau juga melahirkan rasa tidak puas hati segelintir petani di kawasan Parlimennya yang telah mengusahakan tanah selama beberapa generasi tetapi permohonan untuk mendapatkan tanah berkenaan ditolak.

“Bagaimana syarikat berusia lima bukan senang-senang mendapat tanah,” katanya seperti yang laporkan oleh Malay Mail.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Perak tidak sepatutnya mengikut amalan Barisan Nasional dengan memberi tanah sewenang-wenangnya.

“Kalaupun pegangan gazet telah dilepaskan semasa pemerintahan Barisan Nasional, kerajaan sekarang boleh menggazetkannya semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Besar membatalkan kelulusan yang telah diberikan kepada syarikat berkenaan.

Kelulusan tanah itu terbongkar selepas Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendedahkan aktiviti pembersihan tanah di Bukit Kledang, yang merupakan sebahagian daripada rizab hutan Kledang-Saiong.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, Menteri Besar Diperbadankan yang memiliki tanah tersebut dan ia telah dikeluarkan daripada rizab hutan yang digazetkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan, Anuar Zainal Abidin kemudiannya mengesahkan bahawa pembersihan tanah berhampiran bukit Kledang yang konik adalah satu pencerobohan haram bagi tujuan tanaman kelapa sawit. – MalaysiaGazette